Kisah Ashabul Kahfi (Sahabat Gua) - seperti yang tercatat dalam Surah Al-Kahf di dalam ayat 9 sehingga 26, mengisahkan mengenai 7 orang pemuda bersama seekor anjing yang telah mengasingkan diri dari kaum mereka yang sesat dan zalim. Disebabkan sebelum mengasingkan diri mereka telah berdoa untuk Rahmat Allah, maka Allah telah "mematikan" mereka selama 309 tahun. Kisah Ashabul Kahfi ini telah diturunkan kepada Rasullah S.A.W kerana adanya sekumpulan Yahudi yang datang untuk menguji keRasulan Baginda. Ini kerana pada waktu itu, kumpulan Yahudi ini tahu tiada orang Arab yang mengetahui mengenai kisah 7 orang pemuda yang telah tidur selama 300 tahun. Ternyata turunnya ayat 9 sehingga 16 ini membuktikan keRasulan baginda kerana wahyu dari Allah menyatakan dengan lebih tepat mengenai kisah Sahabat Gua in berbanding versi Yahudi.
Namun apa yang penting dalam kisah Ashabul Kahfi ini bukanlah mengenai keajaiban tidur 309 tahun, siapa sekumpulan pemuda itu, lokasi gua ataupun apa yang terjadi selepas mereka bangun. Jika diteliti kisah Ashabul Kahfi di dalam Surah Al-Kahf, sebenarnya Allah S.W.T sedang memberi panduan atau guidance kepada pemuda Islam dalam pengurusan spiritual.

Panduan yang diberikan oleh Allah kepada pemuda melalui tauladan Kisah Ashabul Kahfi:
1. Mulakan perubahan dengan diri sendiri
(Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami". (18:10)
Dari ayat ini dapat dilihat bahawa kumpulan pemuda ini telah bertindak pergi ke gua dan seterusnya berdoa supaya Allah merahmati tindakan mereka. Tindakan pemuda ini yang terus pergi ke gua kerana bimbang agama mereka akan terancam adalah melakukan perubahan pada diri sendiri. Seterusnya setelah melakukan tindakannya terus mereka meminta perlindungan dan rahmatNya.
2. Pemuda perlu mempunyai sifat sabar dan berani
Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (18:14)
Untuk melakukan perubahan, pemuda memerlukan hati yang kuat. Hati yang kuat adalah hati yang penuh dengan kesabaran dan keberanian. Biasanya sesuatu perubahan tidak akan berlaku dengan mudah. Hati perlu sabar semasa menerima cabaran dan dugaan yang berlaku. Tanpa keberanian, sesuatu perubahan tidak akan dapat mencapai objektif. Hanya mereka yang berani dan cekal mampu melakukan perubahan dengan lengkap. Kesabaran dan keberanian akan diberikan oleh Allah dengan iman yang teguh.
3. Jati diri yang tinggi perlu ada dalam diri pemuda
(Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. (18:15)
Jika dilihat kepada ayat ini, ternyata pemuda-pemuda Sahabat Gua mempunyai jati diri yang tinggi. Mereka tidak terpengaruh walaupun berada di dalam kelompok yang sesat. Jati diri yang teguh adalah amat penting untuk anak muda kerana pada usia beginilah mereka akan mudah terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Emosi yang belum stabil dan rasional yang kurang matang akan menyebabkan decision making yang salah. Cabaran yang dihadapi oleh pemuda pemuda gua pada masa itu amatlah berat sehingga mereka terpaksa mengasingkan diri mereka. Jika dilihat pada masa itu, tindak ber"uzlah" atau mengasingkan diri merupakan tindakan yang paling sesuai dengan situasi tersebut.
4. Allah memberi Rahmat kepada mereka yang melakukan perubahan
Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".(18:16)
Ternyata, ayat Surah Al-Kahf yang ke 16 ini merupakan bukti bahawa Allah menolong orang yang telah memulakan tindakan untuk melakukan perubahan. Jika dilihat ayat ini, pemuda-pemuda Ashabul Kahfi telah mengambil tindakan untuk mengasingkan diri bagi melindungi iman mereka. Maka Allah telah menurunkan rahmat dengan menidurkan mereka. Malah semasa mereka tidur Allah telah melindungi mereka agar mereka tidak diganggu oleh haiwan buas dan juga orang ramai.
5. Menyerahkan kepada Allah mengenai perkara yang tidak dapat ditentukan oleh manusia
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih mengetahui tentang lamanya kamu tidur; (18:19)
Ayat ini menerangkan bahawa pemuda-pemuda ini telah menyerahkan perkara yang tidak pasti dan tidak diketahuinya kembali pada Allah. Ini merupakan satu sifat yang penting kerana di dalam melakukan perubahan, pemuda akan terjumpa pelbagai situasi yang tidak dapat dikawal oleh manusia. Maka, pada waktu itu orang muda perlulah berserah kepada Allah kerana hanya Dia yang Maha Mengetahui. Kerana, jika seserang itu tidak menyerahkan kembali urusannya kepada Allah, segala usahanya akan sia-sia dan akan menimbulkan kekecewaan di dalam hatinya jika gagal direalisasikan.
6. Allah menyuruh orang muda menggunakan strategi dalam melakukan perubahan
Sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. (18:19)
Pemuda Ashabul Kahfi setelah bangkit dari tidur, menyusun perancangan yang teliti sebelum masuk ke bandar bagi membeli makanan. Ini dapat dilihat dengan hanya seorang sahaja di hantar dan dipesan supaya bertindak low profile agar tidak tertangkap. Ini merupakan panduan yang diberikan oleh Allah kepada orang muda agar melakukan perancangan dalam membuat perubahan. Perancangan yang lengkap dan teliti akan mampu membawa kepada kejayaan. Quote Benjamin Franklin "If you fail to plan, you plan to fail".
7. Jika berbahas, hendaklah dalam keadaan bersederhana
Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). (18:21)
Ayat ini menunjukkan pesan Allah kepada orang muda iaitu semasa berbahas hendaklah secara sederhana. Dan jika sesuatu perkara itu memang tidak diketahui secara nyata dan benar, maka jangan lah bertanya untuk diperbahaskan kerana akan membazir masa dan dikhuatiri akan menyinggung perasaan orang lain.
8. Jika berjanji melakukan sesuatu, hendaklah menyebut "InsyaAllah"
Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): "Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti".
Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): "Insya Allah". Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini". (18:23-24)
Turunnya ayat ini kerana semasa Rasullah dicabar oleh Yahudi untuk memberi jawapan kepada soalan mereka, baginda terlupa menyebut InsyaAllah apabila mengatakan mahu menjawabnya esok. Maka Allah telah menegur Rasullah melalui ayat ini dan juga melambatkan penurunan ayat ini. Ayat ini menerangkan bahawa semasa membuat perjanjian atau apa apa komitmen hendaklah jangan lupa menyebut InsyaAllah. Ini merupakan nasihat supaya pemuda tidak lupa berdoa dan sentiasa mengharapkan pentunjukNya.
















